Home » » HATINYA TERIKAT PADA MASJID...

HATINYA TERIKAT PADA MASJID...

Written By lurim on Friday, April 29, 2011 | 5:54 PM


Hari itu mata suci Rasulullah s.a.w. seolah-olah tercari-cari seseorang. Petang itu agak redup. Suasana Masjid Nabawi seperti biasa. Kelihatan beberapa halaqah sedang berjalan pada petang itu. Ada yang kelihatan seperti sedang bermuzakarah. Ada yang sedang asyik mendengar penerangan dan penyampaian oleh beberapa tokoh sahabat seperti Ubay bin Ka'ab, Abu Hurairah mahupun Abu Bakr as-Siddiq r.ahum.

Tiba-tiba, Rasulullah s.a.w. menyapa seorang jemaah masjid yang berada di situ. Anas r.a. sedang berada disamping baginda. Rupanya Rasulullah s.a.w. ingin bertanyakan khabar berkenaan seorang sahabiah yang sering menyumbangkan khidmatnya kepada Masjid Nabawi dengan membersihkan masjid daripada sampah sarap.

Apabila ditanyakan, baharulah dimaklumkan bahawasanya sahabiah tersebut telah pun meninggal dunia dan sudahpun dikebumikan. Rasulullah s.a.w. lalu bersabda, 

"Jika meninggal dunia seseorang daripada kalangan kamu maka hendaklah kamu maklumkan kepada ku!"

Lalu Rasulullah s.a.w. menunaikan solat jenazah kepada beliau, lalu bersabda, "Sesungguhnya aku telah melihatnya berada di dalam syurga disebabkan (amalannya yang suka berkhidmat) menyingkirkan sampah-sarap daripada masjid."

(Ilustrasi daripada hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabrani di dalam kitab al-Kabir, dan periwayat-periwayatnya adalah periwayat yang sahih)


Riwayat ini sebenarnya sudah cukup untuk membayangkan betapa mulianya sebuah masjid di sisi Allah s.w.t. Untuk hanya sedikit kaitan bagi memuliakannya dan sedikit khidmat kepadanya, sudah cukup untuk melayakkan seseorang itu dimuliakan dengan diberikan syurga sebagainya ganjarannya.

Adakah satu perkara lain yang lebih jelas bagi menggambarkan betapa redhanya Allah s.w.t. terhadap sesuatu perkara daripada berita bahawa seseorang itu dimasukkan ke dalam syurga disebabkan amalannya yang tertentu?

Jika dengan hanya sedikit khidmat membersihkan sampah daripada masjid pun sudah diberikan ganjaran syurga, apatah lagi ganjaran yang disediakan oleh Allah s.w.t. kepada mereka yang memberikan komitmen harian untuk mengimarahkan masjid? Cuba kita renungkan, betapakah kemuliaan yang Allah s.w.t. sediakan bagi mereka yang sanggup berulang alik ke masjid demi menghidupkan masjid dengan amalan-amalan yang sewajarnya hidup di dalam sesebuah masjid.

Kemuliaan masjid bukan kerana binaannya, tetapi kerana amalan-amalan yang sepatutnya sentiasa hidup di dalamnya. Al-`Allamah Al-Muhaddith Asy-Syaikh Muhammad Yusuf al-Kandahlawi rah.a., pengarang kitab Amaniyul-Ahbar dan kitab Hayatus-Sahabah, seorang ulama yang pakar berkenaan Sirah Nabawiyah telah menyimpulkan bahawa Masjid Nabawi dan masjid-masjid di Madinah semasa xzaman Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat telah dihidupkan dengan empat amalan teras iaitu dakwah, ta'lim dan ta'allum, ibadah dan khidmat.

Disebabkan itulah, bagi seseorang muslim yang sering berulang-alik mengimarahkan masjidnya, Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan agar orang itu dipersaksikan berkenaan hakikat iman yang dimilikinya.

Abu Sa'id al-Khudri r.a. meriwayatkan, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, "Jikalau engkau melihat seseorang lelaki yang sentiasa berulang-alik ke masjid, maka persaksikanlah baginya dengan (ketulenan) imannya. Allah Taala telah berfirman, "Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang yang benar-benar beriman dengan Allah dan hari Akhirat." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Jika itulah ganjaran dan kemuliaan seseorang yang mendedikasikan dirinya untuk memakmurkan masjid-masjid, apakah penyaksian keimanan yang selayaknya diberikan kepada mereka yang telah mengerahkan fikiran, masa, tenaga dan harta untuk memujuk rayu manusia lainnya agar datang kepada masjid dan menghidupkan amalan-amalan masjid?

Melalui kisah ringkas di atas juga, kita mendapat satu isyarat, bagaimana golongan sahabiah juga turut memainkan peranan dalam memastikan masjid-masjid sentiasa dihidupkan dengan amalan dakwah, pengajian ilmu, ibadat-ibadat khusus dan khidmat.

Hari ini juga, jika golongan wanita muslimah mukminah turut memainkan peranan untuk secara istiqamah dan berhikmah menggalakkan setiap ahli keluarga lelaki mereka agar pergi ke masjid dan melibatkan diri secara aktif dengan usaha-usaha memakmurkan masjid agar hidup dengan empat amalan kemasjidan tersebut, maka suasana yang pernah mewarnai dan mencorakkan pola aktiviti di Masjid Nabawi semasa zaman Rasulullah s.a.w. akan kembali terzahir!

Semoga Allah menerima kita - umat hujung akhir zaman ini - untuk kembali mulia melalui cara yang telah memuliakan generasi salafus-soleh umat ini, iaitu apabila seluruh gerak hidup dan hati sanubari mereka, diikat dengan masjid!
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. SUATU PERJALANAN MAYA - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger